Rabu, 02 Februari 2011

Sistem Khalifah


Dari Nukman bin Basyir katanya,
“Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi SAW dan Basyir itu adalah seorang yang tidak banyak cakap. Datanglah Abu Saklabah lalu berkata, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah baginda SAW itu.” Maka duduklah Abu Saklabah Al-Khusyna (untuk mendengarkan hadis berkenaan). Maka kata Huzaifah RA, Nabi SAW telah bersabda,

“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu seperti yang Dia kehendaki, kemudian Allah pun mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki.
Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan yang berjalan menurut cara Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya.
Kemudian berlakulah pula Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah). Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah berlakunya. Kemudian Dia mengangkatnya seperti yang Dia kehendaki mengangkatnya.
Kemudian berlakulah Zaman Pemerintah Yang Zalim (Diktator). Maka berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian berlakulah pula Zaman Kekhalifahan yang berlaku menurut cara Zaman Kenabian.”
Kata Huzaifah RA
, “Kemudian baginda SAW diam.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Juga terdapat di dalam Kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadis nombor 5.

Daripada Jabir bin Majid As-Sadafi RA, katanya Rasulullah SAW bersabda,

“Selepasku, akan berlaku zaman kekhalifahan. Selepas itu berlaku pula zaman Amir-amir. Selepas itu berlaku pula zaman Raja-raja dan selepas raja-raja, zaman diktator. Kemudian, seorang lelaki dari ahli keluargaku akan datang (memerintah) dan memenuhkan dunia ini dengan keadilan seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kekejaman. Kemudian, naik memerintah selepasnya Al-Qahtani, dan demi Zat yang menghantarku dengan kebenaran, dia tidaklah jauh berbeza daripada al-Mahdi.”
(At-Tabrani, Ibnu Mandah, Abu Nuaim & Ibnu Asakir)
Kedua-dua buah hadis di atas menyebutkan umat Islam sejak dari masa hayatnya baginda SAW lagi hinggalah ke hari kiamat, akan melalui lima zaman pemerintahan. Walaupun istilahnya ada sedikit berbeza, maksudnya sama sahaja dan urutan zamannya juga sama. Kelima-lima zaman yang dimaksudkan itu berserta huraian ringkas bagi setiap zaman itu adalah:
  1. Zaman Kenabian, iaitu zaman umat Islam diperintah oleh pembawa ajaran Islam itu sendiri, Nabi Muhammad SAW. Itulah zaman kemuncak bagi segala zaman pemerintahan, zaman contoh, zaman terbaik di antara segala zaman, sejak dari Nabi Adam AS hinggalah ke hari ini. Zaman ini telahpun berlaku dan telah juga berlalu, iaitu dengan wafatnya baginda SAW pada tahun 10 Hijrah. Dalam hadis kedua, zaman ini disebutkan sebagai selepasku sahaja, iaitu ringkasan daripada Zaman Kenabian.
  2. Zaman Kekhalifahan, iaitu pemerintahan yang berjalan berdasarkan Zaman Kenabian. Pemerintahannya adalah berpandukan benar-benar kepada wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Zaman ini dipanggil Zaman Khulafa ur-Rasyidin, khalifah yang mendapat petunjuk. Mereka adalah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar bin Al-Khattab RA, Osman bin Affan RA dan Ali bin Abi Talib KMW. Sebahagian ulama turut memasukkan zaman pemerintahan Sayidina al-Hasan bin Ali RA yang singkat itu (6 bulan) ke dalam Khulafa ur-Rasyidin. Itulah dia 30 tahun yang dimaksudkan oleh baginda SAW dalam hadisnya yang berbunyi (terjemahan) kira-kira: “Kekhalifahan akan berlaku ke atas umatku selama 30 tahun. Selepas itu, berlaku pula zaman amir-amir.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At-Tarmizi dan lain-lain. Hadis yang kedua juga menyebutkan Zaman Kekhalifahan. Zaman ini telah berlaku menurut catatan sejarah dan telah juga berlalu daripada kita.
  3. Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah), iaitu zaman yang bermula sejak turunnya Sayidina Hasan bin Ali RA sehinggalah berakhir pada tahun 1924M. Ini termasuklah zaman Umaiyah, Abbasiah, Mameluk, Fatimiyah, Moghul, Seljuk, Ayubiah, sehinggalah ke saat jatuhnya kerajaan Osmaniah, Turki pada tahun 1924. Zaman ini termasuklah semua wilayah yang diperintah oleh pemerintah Islam, yang memakai bermacam-macam gelaran itu seperti Amir, Khalifah, Sultan, Raja dan sebagainya. Namun terdapat beberapa orang pemerintah yang patut dikecualikan, kerana adil pemerintahan mereka. Antaranya yang lazim kita kenal ialah Umar bin Abdul Aziz, Abdullah bin az-Zubair, Muhammad al-Fateh dan Salahuddin Al-Ayubi. Dalam hadis yang kedua, zaman pemerintahan ini lebih diperincikan sehingga dibahagi kepada dua, disebutkan sebagai Zaman Amir-amir dan Zaman Raja-raja. Maknanya, Zaman Amir-amir itu berlaku lebih dahulu, kemudian barulah diikuti oleh Zaman Raja-raja, untuk menunjukkan lebih-lebih lagi zalimnya daripada zaman sebelumnya. Zaman ini juga telah berlaku dan kini hanya menjadi bahan sejarah bagi pengkaji sejarah, dan juga telah berlalu daripada kita, seperti urutan yang ditetapkan.
  4. Zaman Diktator, iaitu zaman pemerintahan yang bermula sejak jatuhnya Kerajaan Osmaniah dan berlangsung hingga kini. Pada zaman ini, seperti yang diisyaratkan, raja-raja sudah tidak ada lagi. Yang ada hanyalah para pemimpin yang digelar Presiden atau Perdana Menteri. Kedua-duanya adalah sistem diktator, seperti yang telah diisyaratkan oleh kedua-dua buah hadis di atas. Jika ada pun raja-raja, sudah tidak mempunyai kuasa penuh lagi seperti zaman-zaman sebelumnya. Zaman ini termasuklah semua pemerintah yang menguasai dunia Islam, sama ada yang menggunakan sistem imperial (beraja), berorientasikan parti-parti politik (Perdana Menteri), pemerintahan rakyat, sosialis atau republik (Presiden). Semuanya tidak berpandukan kepada sistem Islam yang sejati, tepat seperti apa yang kita alami hari ini. Zaman diktator ini sedang berlangsung dan insya-Allah akan diangkat oleh-Nya tidak lama lagi. Berdoalah banyak-banyak agar zaman ini segera Dia angkatkan daripada kita.
  5. Zaman Kekhalifahan, yang pemerintahannya sama dengan pemerintahan zaman Khulafa ur-Rasyidin dan Zaman Kenabian. Zaman ini belum lagi berlaku, dan insya-Allah akan berlaku, kerana telah disebut dan dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW, Sodiqul Masduq. Untuk menghadapi zaman ini, kita umat Islam perlulah bersedia dan bersungguh-sungguh menghadapi kedatangannya, yang tidak perlu diragui lagi itu. Antara caranya ialah dengan mengamalkan sungguh-sungguh cara hidup Islam dalam seluruh aspek kehidupan kita, dan menurut jejak para Salafus Soleh. Untuk membina kejayaan seperti zaman dahulu, kita mestilah mengikut apa yang umat zaman dahulu (Zaman Rasulullah SAW) lakukan - peningkatan dalaman. Para pengamal ajaran Islam akan menjadi ghurabak (orang asing), seperti yang berlaku kepada generasi awal Islam dahulu. Melalui para ghurabak inilah Allah turunkan pertolongan-Nya sehingga naik Imam Mahdi memerintah seluruh umat Islam di seluruh dunia. Penurunan seorang khalifah oleh Allah SWT kepada umat Islam merupakan satu nikmat yang amat besar, seperti firman-Nya yang terjemahannya kira-kira begini,
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika Dia mengangkat nabi-nabi dari kalangan kamu dan dijadikan-Nya kamu raja-raja.”
(Al-Maidah : 20)

Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik

Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Pendidikan
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka spt Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)

Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah   Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan. 

Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah spt berikut ;
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi  hari tidak akan sampai ke   petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya"
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin".
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga" Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang"
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :
        1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku)  akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
        2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik  telah berkata : "Aku  tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul  Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
        3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar     suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".
        4) Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
        5) Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
        6) Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang  lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
        7) 'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara  satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka." 
       
Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
            1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
            2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
            3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
            4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan    beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa'  Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab ! yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.....
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan....
Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat...........
kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada  pemerintahan  zaman moden ini....hanya   852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan ornag yang benar-benar ikhlas.....!!!